Pakatan tubuh Tabung Komoditi RM100j sebaik tawan Putrajaya

(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 4 Jan: RM100 juta akan disuntik dalam Tabung Kebajikan Komoditi Negara yang akan ditubuhkan sebaik Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Persekutuan baru, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia merupakan skim jaringan sosial bagi membantu keluarga yang ekonominya bergantung kepada komoditi utama.

Tabung dalam bentuk pinjaman mudah, takaful perlindungan, bantuan pendidikan dan sebagainya itu akan menampung pendapatan sebaik harga komoditi utama jatuh ke bawah paras minima.

“Setakat ini, pentadbiran Najib Razak tidak pernah bentangkan rancangan khusus membendung kejatuhan harga bagi mengurangkan beban keluarga yang terkesan,” katanya pada kenyataan.
Anwar berkata, harga minyak sawit mentah susut 23 peratus dalam setahun dengan purata RM2,477 per tan metrik (minggu pertama 2013) berbanding RM3,225 bagi tempoh sama tahun lalu.
Begitu juga dengan harga komoditi getah beku gred SMR CV RM9.61 per kilogram bagi minggu pertama 2013, berbanding RM10.87 untuk tempoh sama tahun lalu, berkadar penurunan sebanyak 12 peratus.

“Ini membawa kesan ekonomi buruk kepada sebahagian besar rakyat Malaysia. Dianggarkan 112,000 keluarga melibatkan sejuta rakyat Malaysia terlibat dengan Felda.
“Jumlah keluarga yang ekonominya bergantung pada komoditi getah adalah 400,598 pada 2009 dengan anggaran dua juta orang,” sambung beliau.

Anwar selanjutnya berkata, Pakatan akan menjalinkan sinergi pasaran dengan Indonesia, negara pengeluar terbesar minyak sawit di dunia, bagi berhadapan ketidaktentuan pasaran komoditi tersebut.

“Malaysia dan Indonesia membentuk 85 peratus pasaran. Sinergi ini penting dan akan melaras harga. Ini bukan semata-mata cadangan saya, bahkan industri kelapa sawit,” jelasnya lagi.

Kata Anwar, sebaik Pakatan mentadbir, satu jawatankuasa khusus perundingan dipengerusikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bersama Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan KEADILAN, Wong Chen ditubuhkan bagi menjamin kestabilan harga komoditi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Panduan Internet - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger